KELUARGA umpama satu sel hidup dalam jasad masyarakat manusia. Apabila baiknya keluarga, maka baiklah masyarakatnya. Begitu juga apabila rosaknya keluarga, maka rosaklah masyarakatnya.
KELUARGA umpama ummat kecil, di dalamnya manusia belajar akhlak yang paling baik dalam bersosial. Tiadalah ummat bilamana tiadanya KELUARGA. Bahkan tiadalah manusia tanpa KELUARGA.
KELUARGA merupakan alam sosial yang pertama yang manusia lalui semenjak hari kelahirannya ke bumi ini dan akan berterusan sehinggalah akhir hayatnya. Di dalam Keluarga jugalah manusia akan melalui fasa-fasa dalam hidupnya. Bahkan KELUARGA merupakan satu-satunya sistem sosial yang lengkap untuk manusia.
KELUARGA merupakan suatu sistem Islam yang paling baik penjagaannya. Sistem Islam ini merangkumi panduan tarbawi dan kaedah perundangan kekeluargaan untuk memastikan terbinanya keluarga diatas asas yang baik. Sistem kekeluargaan Islam mengangkat martabat keluarga tersebut dan menguatkan lagi hubungan antara individu didalam keluarga tersebut.
Kerana itulah KELUARGA merupakan asas yang sangat penting dalam membina masyarakat muslimah. Kerana itulah kita dapat melihat Allah swt banyak menyebut dan menekankan tentang KELUARGA di dalam Al-Quran.
Sistem sosial Islami adalam sistem KELUARGA, ianya sistem Rabbani untuk manusia kerana ianya memenuhi cita fitrah manusia serta keperluan manusia.
Sistem KELUARGA yang sangat indah ini dicipta oleh Allah bagi memenuhi fitrah manusia. Dan ia juga merupakan asal-usul penciptaan makhluk. Kita dapat lihat perkara ini dalam firman Allah di dalam surah Az-Zariyat ayat 49:
ومن كل شيء خلقنا زوجين لعلكم تذكرون
Kehidupan manusia yang pertama merupakan keluarga nabi Adam a.s bersama isterinya Hawwa’. Kemudian dari keduanya Allah berkembang-biakkan manusia. Kisah keluarga yang pertama ini telah Allah ceritakan di dalam surah An-nisa’ ayat 1:
يا أيها الناس اتقوا ربكم الذى خلقكم من نفس واحدة
وخلقمنها زوجها وبث منهما رجالا كثيرا ونساء
Allah boleh sahaja dan sangat mampu untuk menjadikan berjuta-juta manusia sekaligus. Tetapi Allah menginginkan pembiakkan manusia melalui KELUARGA yang terkandung banyak hikmah yang tersembungi.
Menyingkap tentang tarikan fitrah antara lelaki dan perempuan pula, Allah menjuruskan untuk mendirikan rumahtangga. Allah swt berfirman di dalam surah Ar-Rum ayat 21:
ومن أياته أن خلق لكم من أنفسكم أزواجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورحمة
KELUARGA merupakan taman penjagaan semulajadi bagi kanak-kanak. Di situlah kanak-kanak berkembang tubuh badannya, akal fikirannya, dan ruhnya. Di situ jugalah kanak-kanak megenali perasaan kasih-sayang, rahmah dan bertolong-bantu.
KELUARGA membentuk tabiat dan perangai kanak-kanak, dan mengajarnya untuk bersosial.
Anda pernah terfikir tak yang manusia melalui tempoh zaman kanak-kanaknya lebih lama dari haiwan?
Manusia dikira masih kanak-kanak sehinggalah dia baligh, iaitu kira-kira 1-12tahun. Manakala haiwan mengambil masa berhari atau berbulan sahaja untuk mencapai tahap matang.
Zaman kanak-kanak merupakan suatu tempoh untuk menyediakan dan melatih kanak-kanak tersebut untuk memikul suatu amanah yang besar, iaitu menjadi KHALIFAH di muka bumi.
Allah berfirman di dalam surah Al-Ahzab ayat 72:
إنا عرضنا الأمانة على السماوات والأرض والجبال فأبين أن يحملنها وأشفقن منها وحملها الإنسان
Manusia juga merupakan makhluk Allah yang paling berhajat kepada kasih-sayang dan bimbingan ibu bapa didalam kehidupannya berbanding makhluk Allah yang lain. Ianya hanya akan diperolehi daripada sebuah KELUARGA.
Subhanallah, sangat cantik Allah menyusun alam ini beserta sistemnya yang memenuhi dan menepati keperluan makhluknya. Maka nikmat tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
*rujukan: Al-akhawat Al-Muslimat wa binaa’ al-usrah al-quraniyah.








